Kami meneruskan usaha kami di SMK Tunku Abdul Malik dan menawarkan perkhidmatan yang sama iaitu kursus komputer secara percuma kepada pelajar lepasan PMR. Kami berasa amat bertuah kerana kunjungan kami pada hari itu sememangnya tidak sia-sia kerana mereka menerima tawaran kami dengan hati yang terbuka. Perbincangan kami antara guru dan pengetua di sekolah tersebut berjalan dengan lancar dan mereka amat tertarik dengan usaha PPIK untuk merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar.
Kami amat berbesar hati apabila guru di sekolah tersebut turut ingin memberikan kursus komputer kepada pelajar sesi petang iaitu kepada pelajar tingkatan satu dan dua. Ia benar-benar menggembirakan hati kami.
Program ini berlangsung selama tiga hari tanpa mengalami sebarang masalah dan berjalan mengikut modul yang ditetapkan. Kami menggunakan konsep yang sama seperti SMK TATAR dan hadiah diberikan kepada peserta yang aktif di dalam semua aktiviti yang dijalankan. Para guru turut memberikan kerjasama yang baik dan layanan yang istimewa kepada kami membuatkan kami rasa terharu.
Walaupun peserta terlalu ramai namun kami tidak berputus asa untuk memberikan yang terbaik kepada mereka. Malah, bukanlah mudah untuk menguruskan pelajar-pelajar yang tidak kurang nakalnya dan secara tidak langsung mengganggu program kami. Oleh yang demikian, kami tidak ragu-ragu untuk mengadakan sesi motivasi kepada mereka sebagai acara penutup kepada program kami. Ia dilakukan dengan jayanya dan guru-guru juga memuji kami di atas inisiatif kami untuk menjayakan program tersebut. Secara tidak langsung, guru-guru ingin menjemput kami jika mereka ingin menganjurkan program motivasi kepada para pelajar di masa akan datang. Terima kasih kami ucapkan kepada guru-guru di SMK Tunku Abdul Malik.