Thursday, November 27, 2008

Kursus Pembangunan Penyelia PPIK


18-20 November 2008

Semua Penyelia PPIK menghadiri kursus kedua pembangunan Penyelia PPIK. Kursus yang telah diadakan di Corus Hotel Kuala Lumpur berjalan dengan lancar dan banyak memberikan maklumat baru kepada kami.

Selain dapat meningkatkan keyakinan diri, kami dapati kursus ini banyak membimbing kami dari segi semangat berpasukan dan kerjasama antara satu sama lain.
Kami juga berpeluang untuk mengenali mentor kami dengan lebih rapat dan berkongsi masalah yang sedang dihadapi oleh Penyelia PPIK di Negeri Kedah dan Perlis.

Terima kasih kami ucapkan kepada penganjur iaitu Warisan Global Sdn.Bhd. dan juga Maxis kerana pengalaman semasa kursus amat berharga buat kami.

Friday, November 7, 2008

Program Kedua di SMKTAM

Kami meneruskan usaha kami di SMK Tunku Abdul Malik dan menawarkan perkhidmatan yang sama iaitu kursus komputer secara percuma kepada pelajar lepasan PMR. Kami berasa amat bertuah kerana kunjungan kami pada hari itu sememangnya tidak sia-sia kerana mereka menerima tawaran kami dengan hati yang terbuka. Perbincangan kami antara guru dan pengetua di sekolah tersebut berjalan dengan lancar dan mereka amat tertarik dengan usaha PPIK untuk merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar.

Kami amat berbesar hati apabila guru di sekolah tersebut turut ingin memberikan kursus komputer kepada pelajar sesi petang iaitu kepada pelajar tingkatan satu dan dua. Ia benar-benar menggembirakan hati kami.

Program ini berlangsung selama tiga hari tanpa mengalami sebarang masalah dan berjalan mengikut modul yang ditetapkan. Kami menggunakan konsep yang sama seperti SMK TATAR dan hadiah diberikan kepada peserta yang aktif di dalam semua aktiviti yang dijalankan. Para guru turut memberikan kerjasama yang baik dan layanan yang istimewa kepada kami membuatkan kami rasa terharu.

Walaupun peserta terlalu ramai namun kami tidak berputus asa untuk memberikan yang terbaik kepada mereka. Malah, bukanlah mudah untuk menguruskan pelajar-pelajar yang tidak kurang nakalnya dan secara tidak langsung mengganggu program kami. Oleh yang demikian, kami tidak ragu-ragu untuk mengadakan sesi motivasi kepada mereka sebagai acara penutup kepada program kami. Ia dilakukan dengan jayanya dan guru-guru juga memuji kami di atas inisiatif kami untuk menjayakan program tersebut. Secara tidak langsung, guru-guru ingin menjemput kami jika mereka ingin menganjurkan program motivasi kepada para pelajar di masa akan datang. Terima kasih kami ucapkan kepada guru-guru di SMK Tunku Abdul Malik.

Program Pertama PPIK di SMK TATAR

Program PPIK diadakan di sekolah bermula apabila PPIK Kg.Naga berjaya mendapatkan persetujuan dari guru kaunseling SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman (TATAR) untuk mengadakan program kursus komputer secara percuma kepada pelajar-pelajar tingkatan tiga. Disebabkan ia adalah program yang pertama, kami telah mendapat idea untuk membentuk satu kerjasama dari semua PPIK yang berdekatan iaitu:

~PPIK Kg.Naga
~PPIK Wang Tepus
~PPIK Taman Emas Titi Gajah
~PPIK Paya Pahlawan
~PPIK Bendang Perang

Kerjasama ini
adalah untuk mengukuhkan lagi proses pembelajaran dan dapat meningkatkan lagi prestasi Penyelia PPIK di dalam kemahiran berkomunikasi dan cara penyampaian yang lebih baik kepada peserta. Setelah berbincang dengan State Controller Neger Kedah/Perlis iaitu Encik Anwar mengenai perancangan kami ini, beliau telah bersetuju dan memberi sokongan sepenuhnya kepada kami.

Selain dari itu, kami juga telah menjemput khas seorang fasilitator yang juga merupakan seorang usahawan IT untuk memberikan sumbangan dari segi ilmu mengenai IT. Kami amat berterima kasih kepada beliau kerana banyak memberikan tunjuk ajar kepada kami dan sedikit sebanyak kami dapat menambahkan pengetahuan kami mengenai komputer.

Pada 14 Oktober 2008 hingga 16 Oktober 2008 merupakan hari-hari yang mencabar bagi kami untuk memberikan yang terbaik kepada para peserta yang merupakan pelajar SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman. Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan mendapat sokongan sepenuhnya dari guru-guru di sekolah tersebut.

Kami memulakan program seperti majlis-majlis yang diadakan iaitu bacaan doa, sesi suai kenal dan membuat selingan untuk memeriahkan program tersebut. Konsep mentor-tutor diterapkan sepanjang program tersebut diadakan kerana kami dapati konsep tersebut dapat mewujudkan hubungan yang erat antara peserta dan tenaga pengajar selain dapat meningkatkan tahap pemahaman mereka terhadap apa yang disampaikan oleh kami semua.

Alhamdulillah...semuanya berjalan dengan lancar malah hubungan kami dengan peserta adalah seperti kakak dan adik di mana mereka tidak malu untuk bertanya dan mengambil bahagian pada setiap aktiviti yang dilakukan. Layanan istimewa yang diberikan oleh warga sekolah TATAR sangat dihargai dan kami berharap agar kami dapat mengadakan program seperti ini pada masa yang akan datang.